Pada 25 hingga 28 Julai yang lalu, seramai 10 orang guru-guru Pendidikan Islam/Tahfiz telah terpilih untuk mengikuti Kursus Pemantapan Guru-guru Al-Quran yang bertempat di Hydro Hotel, Batu Ferringhi. Kursus ini dianjurkan oleh Institut Latihan Kemahiran MARA. Kursus ini dikendalikan oleh MANTOP Consultant, yang dianggotai oleh Ustaz Zamri (program Mari Mengaji TV9) dan Ustaz Radhi bin Kamarul Hailan (Salah seorang juri Akademi Al-Quran TV9).
Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan guru-guru Al-Quran kepada ilmu-ilmu baru yang boleh dimantapkan dalam pembacaan dan pengajaran Al-Quran, seterusnya diaplikasikan di dalam P&P (Pengajaran & Pembelajaran) di dalam kelas. Alhamdulillah, kami berkesempatan untuk mempelajari ilmu Tarannum, Tajwid, dan Qiraat. Ilmu-ilmu ini insya Allah akan kami gunakan dan aplikasikan dalam mengajar dan mendidik warga Ulul Albab di MRSM Kepala Batas ini.
Pada hari pertama, kami didedahkan kepada persoalan tentang Peranan Guru-guru Pendidikan Islam oleh Ustaz Rosli bin Osman, Pegawai Dakwah dari Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang. Beliau telah mengupas persoalan ini dengan baik sekali dan dapat membuka mata semua guru agar terus teguh dalam mendidik anak bangsa agar terus tetap dan istiqomah dalam menegakkan kalam Allah.
Pada hari kedua pula, kami didedahkan kepada ilmu Tarannum oleh Ustaz Radhi bin Kamarul Hailan, salah seorang juri rancangan AKADEMI AL-QURAN TV9. Beliau telah memperdengarkan bacaan beliau dengan penuh baik dan mantap serta memukau para peserta. Para peserta juga diberi peluang untuk sama-sama bertarannum bersama beliau dan dibimbing jika terdapat sebarang bacaan pada bacaan. Antara jenis-jenis tarannum yang dipelajari ialah Bayati, Nahwand, Jiharkah, Kurdi, Hijaz dan lain-lain.
Pada sebelah petang dan malam pula ialah slot bersama Ustaz Zamri. Beliau telah menekankan ilmu tajwid kepada semua peserta kerana tanpa ilmu tajwid, bacaan seseorang akan menjadi salah, teruatamanya dari segi sebutan huruf dan makhraj. Beliau juga berkongsi tentang pengendalian P&P di dalam kelas, khususnya mengaitkan subjek yang diajar dengan ilmu-ilmu Al-Quran.
Slot pada hari terakhir ialah bersama Ustaz Mohd Nazri bin Abdullah, juga merupakan salah seorang juri di dalam AKADEMI AL-QURAN TV9. Beliau telah mendedahkan ilmu Qiraat kepada semua peserta, khususnya bagi mereka yang belum pernah mengetahui tentang ilmu ini. Para peserta juga diberi peluang untuk mencuba bacaan qiraat sambil dibimbing oleh beliau. Kursus berakhir pada jam 1.00 petang.
Begitulah sedikit sebanyak pengalaman kami, guru-guru Al-Quran dari MRSM Kepala Batas yag mengikuti kursus ini. Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana kami mendapat peluang yang hebat untuk bersama insan-insan yang hebat yang sudi berkongsi ilmu dan pandangan bersama kami. Semoga kursus yang mantap seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang, insya Allah. Apa yang kami dapati daripada kursus ini akan kami kongsikan bersama para pelajar seterusnya diaplikasikan di dalam P&P.
- Ustaz Radhi bin Kamarul Hailan -
.- ustaz Zamri bersama set induksi beliau -
Sekian untuk kali ini.
Wassalam :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan